fb fb fb fb fb

Iktiraf B.Melayu sebagai bahasa tonggak dalam perniagaan

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 11 November- Bahasa Melayu perlu diangkat atau diiktiraf sebagai bahasa tonggak, khususnya dalam sektor perniagaan dan ekonomi di negara ini.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan menyeru para usahawan supaya menggunakan Bahasa Melayu dalam setiap urusan melibatkan usahawan tempatan.

Beliau berkata, usaha itu perlu dilaksana secara bersepadu oleh semua pihak, bukan hanya oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kementerian Pendidikan dan Pengajian Tinggi, tetapi juga oleh pihak swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), serta agensi-agensi kerajaan yang lain.

"Apabila kita melihat trend yang ada berlaku di negara kita, jika mereka menjadi ahli perniagaan, maka terus berubah daripada Bahasa Melayu kepada Bahasa Inggeris. Saya kira ia tidak perlu begitu, sepatutnya Bahasa Melayu boleh terus menjadi bahasa ekonomi dan bahasa perniagaan", katanya.

"Kalau dengan orang luar, satu perkaralah...tetapi antara sesama kita, itu yang perlu dibuat dahulu, antara usahawan Melayu dengan usahawan Melayu. Antara usahawan Melayu dengan usahawan kaum lain, itu yang sepatutnya dahulu yang kita lakukan. Apabila kita berniaga e-dagang misalnya, apabila kita berniaga di sektor pembinaan misalnya, itu kita perlu menggunakan Bahasa Melayu", katanya.

Datuk Seri Ahmad Maslan ditemui media selepas merasmikan 'Seminar Bahasa Tonggak Perpaduan: Bahasa Jiwa Bangsa' di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

ROSLINA BINTI DIN