(V Sivakumar ditemu bual dalam sidang media selepas Program Keselamatan
dan Kesihatan Pekerjaan Belia Kuala Selangor)
KUALA SELANGOR, 7 Ogos - Kerajaan akan mengadakan perbincangan lanjut bagi memperhalus mekanisme pelaksanaan gaji progresif.
Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata beberapa perkara perlu diambil kira agar model pelaksanaan bersesuaian dengan keadaan semasa negara.
"Banyak perkara perlu dikaji secara teliti. Kita juga tahu sebagai contoh di Singapura kajian dilakukan selama lima tahun berkaitan gaji progresif.
"Apabila mereka melaksanakan mereka hanya memilih tiga sektor. Tetapi hari ini ada banyak cadangan membina bagaimana mewujudkan satu model gaji progresif sesuai dengan negara kita," kata V Sivakumar kepada media di sini.
Tambah beliau, hasil pembentangan semasa Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) hari ini, secara dasarnya kerajaan bersetuju untuk melaksanakan gaji progresif.
(V Sivakumar berkata mekanisme pelaksanaan gaji progresif diperhalus)
Sementara itu, V Sivakumar juga berkata Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) terus memperhebat Program Kesedaran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) melibatkan golongan belia.
Ini selaras dengan kecenderungan golongan belia menceburi pekerjaan gig ketika ini.
Menteri Sumber Manusia, V.Sivakumar berkata program seperti itu berupaya meningkatkan daya saing pekerja dalam menghadapi perubahan sektor pekerjaan pada masa akan datang.
"Langkah proaktif yang diambil oleh NIOSH pastinya mampu membantu usaha kerajaan meningkatkan tahap kesedaran mengenai kepentingan KKP dalam kalangan pekerja muda," katanya.
Terdahulu beliau menghadiri Program Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Belia Kuala Selangor di sini.