KUALA LUMPUR, 21 Januari - Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) telah merangka mekanisme sesuai yang akan dilaksanakan sebaik Malaysia membuka semula sempadan antarabangsa kelak.
Mekanisme itu merangkumi vaksinasi, pematuhan SOP, kesihatan dan keselamatan, serta sistem penjejakan data kemasukan pelancong ke negara ini.
Menteri berkenaan, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kerajaan akan memastikan proses pembukaan sempadan antarabangsa adalah selamat dan terjamin daripada penularan COVID-19.
"Insya-Allah kita akan mengemukakan beberapa perkara dalam Mesyuarat Kuartet nanti di mana kita akan memutuskan bila kita akan membuka persempadanan kita, apa yang akan kita longgarkan, kita batalkan, tak perlu lagi, untuk memudahkan pelancong masuk ke negara kita," kata Nancy
Menurutnya, MOTAC turut merancang lebih banyak laluan dan destinasi melalui Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL).