NIBONG TEBAL, 21 Januari - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang membuka dua kertas siasatan terhadap syarikat pengurusan tapak pelupusan sampah Pulau Burung berhubung kebakaran yang berlaku sejak 12 Januari lalu.
Syarikat berkenaan didapati gagal mematuhi Peraturan Impak Alam Sekitar (EIA).
Jelas Pengarahnya, Sharifah Zakiah Syed Sahab kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 29A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kerana melakukan pembakaran terbuka serta Seksyen 34A akta sama.
"Namun, JAS masih menjalankan siasatan terperinci memandangkan operasi memadam api masih berjalan selain menunggu laporan punca kebakaran daripada bomba.
"Hasil siasatan mendapati banyak ketidakpatuhan dilakukan pengendali tapak pelupusan sampah tersebut," katanya selepas melawat tapak pemantauan JAS di Ladang Byram, di sini.
Tambah Sharifah, sebanyak 14 notis arahan serta dua kompaun telah dikeluarkan terhadap pengendali syarikat pelupusan tapak sampah berkenaan tahun lalu.
“Selain itu terdapat kes mahkamah berhubung syarikat pengurusan sama dan ia akan dibicarakan di mahkamah bulan hadapan," katanya.