fb fb fb fb fb

Institusi TVET perlu tingkat kerjasama dengan pihak industri - Mahdzir


PUTRAJAYA, 21 Januari - Institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) perlu meningkatkan lagi kerjasama dengan pihak industri bagi membolehkan pelajarnya mendapat pendidikan serta latihan yang relevan dengan keperluan semasa.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata kepakaran yang dimiliki pemain industri amat membantu dalam membimbing pelajar TVET mencapai tahap kemahiran yang diperlukan.

“Kita tidak mahu sesebuah institusi pengajian TVET KPLB hanya ada ramai pelajar tetapi bila tamat pengajian, mereka tidak dapat kerja.

"Apabila ada kerjasama dengan pemain industri, sudah tentu tenaga pakar akan bimbing pelajar untuk tingkatkan kemahiran sejajar dengan keperluan industri dan perkembangan teknologi," katanya pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) (diperbaharu) antara Institut Kemahiran Tinggi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda-Tech) dengan Perodua Sales Sdn Bhd, di sini.

Perda-Tech dan Perodua Sales menjalinkan kerjasama dalam bidang latihan automotif sejak tahun 2016 bagi membolehkan pelajar dan tenaga pengajar mendapat bimbingan dalam bidang automotif daripada tenaga profesional.

Jelas Mahdzir, kerjasama seumpama itu perlu diteruskan bagi memberi peluang kepada pelajar lepasan institusi berkenaan untuk berkhidmat di syarikat perusahaan automobil kedua negara.

Media Baharu