fb fb fb fb fb

Mekanisme baharu bakal diperkenal, elak jemaah haji diperdaya

SEPANG, 18 Julai- Satu mekanisme baharu bakal diperkenal bagi memastikan tiada jemaah haji diperdaya dengan tawaran menunaikan ibadah haji menggunakan Visa Furada, pada masa depan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata perbincangan bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan dilaksana bagi mencari jalan penyelesaian yang tuntas, berhubung isu tersebut.

Pada masa sama, bakal jemaah bagi musim haji akan datang disaran tidak mudah terpengaruh dengan sebarang tawaran yang mencurigakan.


(Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama),
Datuk Ahmad Marzuk Shaary)

"Visa Furada ini hak kerajaan Arab Saudi berikan kepada individu-individu yang ada hubungan langsung dengan pihak kerajaan melalui kedutaan. Yang berlaku ialah pihak tertentu yang mengambil kesempatan untuk perniagaan mereka dengan menawarkan pakej walaupun mereka belum ada jaminan mendapat Visa Furada.

"Kita mengalu-alukan kerajaan Arab Saudi memberi Visa Furada, sangat berterima kasih. Ia sebagai nilai tambah kepada pengurusan haji kita. Tetapi yang menjadi malangnya apabila ada agen tertentu, individu tertentu yang mengambil kesempatan untuk menawarkan pakej Visa Haji Furada yang palsu kerana Visa Haji Furada ini sangat terhad.

"Pada musim haji akan datang, kita akan berbincang dengan MOTAC, itu sebenarnya di bawah MOTAC, cuma kita bekerjasama", katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Media Baharu