fb fb fb fb fb

Media sosial boleh beri tekanan mental kepada kanak-kanak - CMCF

Foto Fail

KUALA LUMPUR, 22 April- Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia (CMCF) menyatakan sokongan penuh terhadap Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang telah menyampaikan amaran daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) kepada ibu bapa bagi memastikan kanak-kanak berumur 13 tahun ke bawah tidak memiliki akaun media sosial sendiri.

Menurut CMCF, pihaknya menyarankan agar ibu bapa dan penjaga memastikan kanak-kanak hanya diberikan akses kepada peranti dan kandungan di internet dengan pengawasan dan pemantauan sewajarnya.

Ia adalah tanggungjawab ibu bapa kepada anak-anak mereka daripada terdedah kepada risiko ancaman media sosial.

"Terdapat beberapa sebab utama mengapa langkah ini sangat penting, antaranya kanak-kanak di bawah umur 13 tahun mungkin tidak memahami risiko yang terlibat dalam menggunakan media sosial.

"Selain itu, fenomena trend dan cabaran yang sering disertai ramai pengguna media sosial juga boleh menimbulkan risiko kepada kanak-kanak.

"Media sosial juga akan memberi tekanan mental kepada kanak-kanak yang masih belum matang atau berupaya untuk mengawal emosi mereka dengan baik.

"Kanak-kanak juga lebih cenderung untuk berkongsi maklumat peribadi secara terbuka di platform media sosial.

"Hal ini pentingnya penjagaan ibu bapa terhadap kanak-kanak di bawah umur dalam penggunaan media sosial," menurut kenyataan itu.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM