fb fb fb fb fb

Warga asing tanpa permit sah ditahan di JB

Foto JIM  Johor

JOHOR BAHRU, 22 April- Seramai 100 warga asing ditahan dalam tiga operasi yang dijalankan Jabatan Imigresen (JIM) Johor di sekitar Johor Bahru antara 16 hingga 19 April lalu.
 
Pengarah Imigresen Johor, Baharuddin Tahir berkata operasi dijalankan susulan aduan orang awam mengenai lambakan warga asing yang disyaki bekerja tanpa permit sah dan berniaga tanpa lesen.
 
Katanya, seramai 22 lelaki dan lapan wanita terdiri daripada warga Myanmar, Nepal, Bangladesh, Filipina, India dan Indonesia ditahan di enam premis pada 16 April lalu.
 
Mereka yang berusia antara 21 hingga 43 tahun dipercayai menyalahgunakan pas lawatan sosial.

"Pada 17 April pula, 19 lelaki dan tujuh wanita dicekup, hasil operasi di tiga lokasi pasar malam. Mereka yang terdiri daripada warga Indonesia, Myanmar, Bangladesh dan Kemboja itu berniaga tanpa lesen, selain bekerja tanpa permit sah.
 
"Manakala, 44 warga Indonesia dan Myanmar, termasuk seorang kanak-kanak berusia 11 bulan ditahan dalam serbuan di 13 premis di Taman Daya, Johor Bahru pada Jumaat minggu lalu.
 
"Kesemua tahanan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155), Peraturan 11(7) 9 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya menerusi kenyataan.
 

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM