
PUTRAJAYA, 29 Jun – Pelan Tindakan Malaysia Digital 2030 (MD2030) yang dilancar Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyasarkan 500,000 peluang pekerjaan bernilai tinggi.
- Sasar ekonomi digital menyumbang 30% KDNK, penjimatan RM4.5 bilion melalui pendigitalan sektor awam, 95% perkhidmatan kerajaan dalam talian.
- Mengangkat Malaysia sebagai pengeluar inovasi digital berteraskan kepercayaan, keselamatan data dan tadbir urus yang kukuh.
- Kementerian Digital diberi peranan peneraju utama melaksanakan Agenda Negara AI 2030 bagi tempoh 2026 hingga 2030.
- Pelaksanaan dipacu bersepadu bersama agensi seperti NAIO, Jabatan Digital Negara, MDEC, CyberSecurity Malaysia dan MyDIGITAL.
Menerusinya juga, ekonomi digital menyumbang 30 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), menjimatkan RM4.5 bilion melalui pendigitalan sektor awam serta memastikan 95 peratus perkhidmatan kerajaan disediakan secara dalam talian.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata MD2030 membuktikan Malaysia mengorak langkah baharu dalam transformasi digital negara.
“Malaysia bersedia muncul sebagai negara pengeluar inovasi digital yang disegani dengan pelaksanaan berteraskan kepercayaan, keselamatan data dan tadbir urus yang kukuh,” ujarnya.
Beliau berkata pelan pelaksanaan nasional bagi tempoh 2026 hingga 2030 itu meletakkan Kementerian Digital sebagai peneraju utama dalam merealisasikan Agenda Negara kecerdasan buatan (AI) 2030.
Di samping itu, MD2030 memacu landskap negara daripada sekadar pengguna teknologi kepada pengeluar inovasi digital.
Pada majlis berkenaan, Datuk Seri Anwar turut menyampaikan watikah secara simbolik kepada tujuh kementerian yang menerajui tujuh teras strategik MD2030 melibatkan aspek kerajaan, ekonomi, infrastruktur, bakat, masyarakat, kepercayaan dan keselamatan serta inovasi.
Pelaksanaan agenda itu akan dipacu secara bersepadu bersama agensi di bawah Kementerian Digital termasuk Pejabat AI Kebangsaan (NAIO), Jabatan Digital Negara, MDEC, CyberSecurity Malaysia dan MyDIGITAL Corporation.
“MD2030 akan memastikan manfaat ekonomi digital dapat dinikmati secara inklusif oleh seluruh rakyat,” katanya lagi.