SUNGAI PETANI, 27 Disember – Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Kedah menggesa Kementerian Pendidikan serta pihak berkaitan supaya memastikan pelajar tidak membawa peranti peribadi, termasuk telefon bimbit, ke asrama dan sekolah masing-masing.
Langkah itu dilihat penting bukan sahaja bagi membendung penyalahgunaan telefon bimbit, malah mengelakkan kesan negatif terhadap pelajar seperti buli, gangsterisme, gangguan seksual serta masalah disiplin lain.
Selain itu, ia turut bertujuan mengelakkan pelajar menjadi alpa dengan penggunaan gajet sehingga mengabaikan pelajaran.
Pengerusi MCPF Kedah, Datuk Dr Zulkifly Mohamad/Foto RTM
Pengerusi MCPF Kedah, Datuk Dr Zulkifly Mohamad berkata walaupun larangan membawa telefon bimbit di kawasan sekolah masih berkuat kuasa, terdapat pelajar yang dikesan membawa peranti berkenaan secara sembunyi.
Sehubungan itu, beliau menegaskan pemeriksaan lebih ketat perlu dilaksanakan sebelum atau ketika pelajar memasuki asrama dan sekolah, selain tindakan tegas diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan ditetapkan.
Pada masa sama, ibu bapa juga perlu memainkan peranan memastikan anak masing-masing tidak membawa gajet ke asrama dan sekolah.
“Sekiranya perlu berhubung dengan ibu bapa, pihak sekolah biasanya menyediakan kemudahan telefon. Paling kurang, warden turut menyediakan telefon bagi situasi kecemasan. Justeru, pentadbir sekolah perlu lebih tegas memastikan pelajar tidak membawa telefon ke sekolah atau asrama bagi mengelakkan pengaruh negatif seperti budaya buli dan masalah disiplin,” katanya kepada RTM, di sini
Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan larangan membawa serta menggunakan peranti peribadi, termasuk telefon bimbit, oleh murid di kawasan sekolah kekal berkuat kuasa, meskipun persekitaran pendidikan digital semakin meluas.
Larangan menerusi Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) sedia ada itu bertujuan memastikan persekitaran pembelajaran kekal selamat, kondusif dan berteraskan kesejahteraan murid.