KANGAR, 27 Disember - Seramai 200 anak yatim dan asnaf seluruh Perlis bawah 12 tahun menyertai Program Khatan Perdana pada 27 dan 28 Disember ini bersempena dengan cuti persekolahan.
Menurut Yang Dipertua Majlis Kebajikan Masyarakat Negeri (MKMNPs) Marzita Mansor, pelaksanaan program itu merupakan usaha berterusan bagi membantu meringankan beban ibu bapa bagi menampung kos berkhatan.
''Program dilaksanakan Majlis Kebajikan Masyarakat Negeri dengan kerjasama gabungan pertubuhan bukan kerajaan dibawah MKMNPs, Hospital Tuanku Fauziah, MAIPs serta Jabatan Pendidikan Negeri Perlis dan Jawatankuasa Penyelaras Anak Yatim Negeri Perlis," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita ketika meninjau dan beramah mesra dengan peserta dan keluarga terlibat dalam Program Khatan Perdana di Hospital Tuanku Fauziah, di sini
Bagi Pengerusi Persatuan Amal Bakti Negeri Perlis (PABPs), Areff Affandy Ariffin, inisiatif dilaksanakan pihak MKMNPs itu mampu memperkukuh perpaduan dalam kalangan komuniti serta membolehkan ahli naungan bekerjsama melaksanakan program.