fb fb fb fb fb

30 penumpang selamat, bas ekspres bertembung lori treler di Rompin

Seramai 30 penumpang berdepan detik cemas selepas bas ekspres dinaiki terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori treler/ IPD ROMPIN

KUANTAN, 27 Disember - Seramai 30 penumpang berdepan detik cemas selepas bas ekspres dinaiki terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori treler di Kilometer 159 Jalan Kuantan-Johor Bahru, di atas Jambatan Endau, Rompin kira-kira pukul 11.20 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Rompin Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi dalam satu kenyataan memaklumkan, lori treler terbabit sedang dalam perjalanan dari arah Kuantan ke Johor Bahru, manakala bas ekspres pula bergerak dari arah Johor Bahru menghala ke Kuantan sebelum meneruskan perjalanan ke Kelantan.

"Setibanya di lokasi kejadian, salah satu kenderaan dipercayai hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum berlaku perlanggaran dengan kenderaan dari arah berlawanan.

"Akibat perlanggaran tersebut, kedua-dua kenderaan mengalami kerosakan pada bahagian hadapan, namun semua pemandu dan penumpang dilaporkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan," menurut kejadian itu.

Kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59).

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI