KUALA LUMPUR, 25 Februari- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengarah penyedia platform menurunkan hampir 2,000 kandungan media sosial bersifat lucah, dalam tempoh 2022 hingga 15 Februari tahun ini.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, sebanyak 3,670 laman sesawang pula telah dikenakan tindakan sekatan bagi tempoh sama.
Mengulas lanjut, MCMC menubuhkan satu pasukan khusus untuk memantau iklan bahan lucah di media sosial dan kesalahan lain.
"Bagi memastikan ekosistem rangkaian internet yang lebih selamat dan lestari kepada semua pengguna, MCMC telah mewajibkan setiap perkhidmatan media sosial dan pesanan internet yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di negara ini, perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta 588 bermula 1 Januari tahun ini.
"Langkah itu untuk memastikan setiap penyedia perkhidmatan berdaftar mematuhi obligasi di bawah Akta 588 serta mengamalkan Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) yang diterbitkan oleh MCMC," katanya.
Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kapar, Dr Halimah Ali di Dewan Rakyat di sini.