fb fb fb fb fb

97.6 peratus perjawatan di KKM telah diisi

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 25 Februari- Sebanyak 97.6 peratus perjawatan di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah diisi, sehingga 31 Disember tahun lalu.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata ia melibatkan 301,289 perjawatan daripada 308,472 jawatan yang diperuntukkan.

Daripada jumlah itu, sebanyak 270,356 merupakan lantikan tetap, manakala 30,933 pegawai berkhidmat secara kontrak.

"KKM sentiasa memantau keperluan tenaga kerja bagi mengimbangi beban anggota kerjanya dan keperluan penyampaian perkhidmatan melalui outfit perjawatan dan beban kerja di fasiliti kesihatan sebagai keutamaan.

"KKM sedang membangunkan standard penanda aras yang integrasikan keperluan sumber dan keperluan perkhidmatan khususnya bagi lima skim utama iaitu skim Perubatan, Pegawai Pergigian, Pegawai Farmasi, Jururawat dan Penolong Pegawai Perubatan", katanya dalam sesi Dewan Rakyat.
 
Selain itu, KKM juga akan memperkukuhkan penjadualan waktu bekerja anggota kesihatan bagi memastikan keseimbangan beban kerja.

Jelas beliau, beban kerja anggota kesihatan turut dipengaruhi oleh jumlah kehadiran pesakit di fasiliti kesihatan.
 
Bagi mengoptimumkan penggunaan sumber manusia dan peralatan, KKM telah memperkenalkan Program Hospital Kluster, yang membolehkan fasiliti berkongsi perkhidmatan dan kepakaran untuk meningkatkan kecekapan sistem kesihatan negara.

ROSLINA BINTI DIN