KUALA LUMPUR, 25 Februari- Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), melalui Majlis Perundingan Gaji Negara dan agensi berkaitan, bersedia mengkaji semula perintah gaji secara berkala bagi memastikan kenaikan gaji minimum pada masa akan datang.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, kajian itu akan dilakukan sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh dua tahun.
Ia selaras dengan keperluan Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732).
"Proses kajian ini melibatkan penelitian indikator ekonomi semasa mengambil kira indikator asas seperti pendapat garis kemiskinan dan penengah gaji serta indikator penyelaras seperti produktiviti buruh, kadar pengangguran dan indeks harga pengguna," katanya.
Katanya ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim di Dewan Rakyat di sini.
Tambahnya, sesi libat urus dengan pemegang taruh dalam kalangan wakil pekerja, majikan dan pihak kepentingan lain turut akan dilaksana bagi mengumpul pandangan dan maklum balas kenaikan gaji pekerja.