KLANG, 25 Februari – Penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) berpotensi memperkasa penyampaian berita Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, khususnya dalam penyebaran maklumat merentas pelbagai bahasa.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata teknologi AI membolehkan terjemahan serta-merta, memastikan kandungan berita lebih mudah diakses oleh khalayak lebih luas.
“Sebelum ini, kita terhad dalam penggunaan bahasa kerana berita yang dihasilkan mestilah dalam Bahasa Melayu dan Inggeris. Namun, di rantau ASEAN, tidak semua fasih berbahasa Inggeris.
"Dengan teknologi AI, kita boleh menyediakan terjemahan segera, memastikan kandungan berita yang dihasilkan oleh RTM ditonton oleh lebih ramai penonton. Ini bukan sahaja meningkatkan keberkesanan penyampaian berita, tetapi juga memperluaskan jangkauan penonton,” katanya pada Simposium Penyiaran Digital (DBS) Kesatuan Penyiaran Asia Pasifik (ABU) 2025, di sini.
Nie Ching turut memuji inisiatif RTMKlik dalam memperkenalkan RTM ASEAN, yang menawarkan kandungan serantau eksklusif bagi memperkukuh hubungan merentasi sempadan.
Sebagai sebahagian daripada usaha itu, tujuh saluran FAST (Free Ad-Supported Streaming TV) baharu akan dilancarkan menjelang Mac tahun ini.