KUALA LUMPUR, 25 Februari- Penjawat awam Gred 15 dan ke bawah menyambut baik pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak RM500 yang disifatkan dapat membantu meringankan beban perbelanjaan mereka.
Insentif sekali beri itu dimanfaatkan sepenuhnya bagi melengkapkan keperluan persekolahan anak-anak serta persiapan menjelang Ramadan dan Aidilfitri.
Penjawat awam, Sukur Ishak berkata bantuan itu sedikit sebanyak membantu menampung perbelanjaan Februari dan Mac khususnya dalam melengkapkan keperluan anak-anak seperti pakaian dan buku sekolah, selain bayaran transit pusat asuhan.
"Selain itu, ia turut membantu persiapan menjelang Aidilfitri," katanya ketika ditemui RTM.
Seorang lagi penerima, Muhammad Shahzil Abu Bakar turut bersyukur dengan bantuan tersebut yang dapat meringankan beban kewangan menjelang Ramadan.
"Kerajaan mengambil berat kebajikan penjawat awam dan bantuan ini sangat membantu dalam menguruskan ekonomi rumah tangga," katanya.
Sementara itu, penjawat awam lain, S. Kalaiarasu dan Clarence Ngalang berkata bantuan tersebut dapat menampung bayaran perumahan, kenderaan serta perbelanjaan lain seperti insurans dan cukai jalan.
"Bantuan ini sangat membantu dalam meringankan beban kewangan bulanan," kata Clarence.
Penjawat awam, Khairul Adri pula berkata insentif itu dapat digunakan untuk persiapan Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober lalu mengumumkan pemberian BKK berjumlah RM500 kepada penjawat awam Gred 15 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak.
Selain itu, bantuan sebanyak RM250 turut diberikan kepada pesara, veteran berpencen dan veteran tidak berpencen.