fb fb fb fb fb

Beras putih tempatan bersubsidi mula dijual 1 Mac

Sebanyak 24 juta kampit beras putih tempatan (BPT) bersubsidi seberat 10 kilogram pada harga RM26 sekampit akan berada di pasaran di seluruh Semenanjung bermula 1 Mac ini / Foto Hiasan / Bernama

PUTRAJAYA, 25 Februari – Sebanyak 24 juta kampit beras putih tempatan (BPT) bersubsidi seberat 10 kilogram pada harga RM26 sekampit akan berada di pasaran di seluruh Semenanjung bermula 1 Mac ini.

Langkah itu menyasarkan isi rumah miskin dan miskin tegar melalui pelaksanaan intervensi khas dengan peruntukan subsidi sebanyak RM150 juta bagi tempoh enam bulan.

Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) merangkap Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras, Datuk Badrul Hisham Mohd berkata pembelian BPT bersubsidi itu dihadkan kepada dua kampit bagi setiap 400,000 ketua isi rumah (KIR) miskin.

“Menyantuni kehadiran Perdana Menteri (PM) sempena persediaan rakyat menyambut Ramadan, kami bercadang untuk menjual kumpulan pertama beras putih tempatan bersubsidi kepada umum pada hari berkenaan.

“Pada 27 Februari, pukul 3 petang, PM akan turun padang dan kita akan sediakan antara 10,000 hingga 20,000 beg untuk jualan pertama,” katanya pada Sidang Media Khas Berkenaan Mekanisme Program Subsidi Beras Putih dan Penguatkuasaan di Wisma Tani, di sini.

Sebagai langkah awal, jualan rintis akan dilaksanakan pada Program Jualan Agro Madani di Kedah pada 27 Februari, yang akan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN