GUA MUSANG, 25 Februari- Lebih 700 penduduk di Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Kesedar Limau Kasturi 2 di sini hidup dalam kebimbangan susulan ancaman dua ekor beruang matahari yang kerap memasuki kawasan kampung.
Haiwan liar itu dipercayai kelaparan apabila hampir setiap malam menghampiri bahagian dapur rumah penduduk bagi mencari makanan termasuk madu kelulut dan minyak masak.
Imam Masjid Mukim RPT Limau Kasturi 2, Mohamad Sabri Hanipa, 35, berkata situasi itu semakin membimbangkan sejak dua tahun lalu menyebabkan pendapatannya sebagai pengusaha madu kelulut turut terjejas.
"Dalam tempoh itu, 55 daripada 70 lot sarang madu kelulut saya dimusnahkan beruang tersebut. Saya pernah melihatnya dari tingkap rumah, jaraknya sangat dekat. Jika beruang itu terkejut, dikhuatiri ia boleh bertindak agresif, lebih-lebih lagi saya ada anak kecil," katanya ketika ditemui RTM.
Pengusaha madu kelulut lain, Azhar Che Amir turut bimbang dengan keselamatan penduduk terutamanya kanak-kanak yang bermain di luar rumah.
"Beruang itu memusnahkan sarang kelulut dan mengambil madunya. Jika masalah ini berlarutan, bukan sahaja penternak kelulut terjejas, malah keselamatan penduduk turut terancam," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Limau Kasturi, Aluwi Muda berkata laporan telah dibuat kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), namun ancaman masih berterusan.
"Penduduk telah mengikut nasihat yang diberikan termasuk memasang lampu di kawasan rumah. Namun, beruang masih berkeliaran termasuk di kawasan dapur rumah. Saya harap PERHILITAN dapat memasang perangkap bagi menangani isu ini," katanya.