
PUTRAJAYA, 26 Ogos – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan bekerjasama dengan penganjur serta pemilik tapak bagi memastikan rangkaian komunikasi dan perkhidmatan internet mencukupi menjelang penganjuran Formula 1 (F1) di Sepang.
- Elakkan kesesakan rangkaian akibat kehadiran orang ramai dengan perancangan dan langkah teknikal.
- Syarikat telekomunikasi boleh memasang peralatan tambahan untuk meningkatkan kapasiti dan liputan rangkaian di lokasi acara.
- Perbincangan masih berjalan; lawatan tapak dan perancangan awal diutamakan untuk memastikan kesalinghubungan terbaik sepanjang F1.
Jurucakap Kerajaan MADANI merangkap Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, berkata kerjasama itu penting bagi memastikan pengguna tidak berdepan kesesakan rangkaian susulan kehadiran orang ramai dalam jumlah besar pada acara berkenaan.
Menurutnya, langkah itu turut membolehkan syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi memasang kelengkapan dan peralatan yang diperlukan bagi meningkatkan kapasiti serta liputan rangkaian di lokasi acara.
“Perbincangan itu sedang berjalan dan saya belum dimaklumkan sama ada perancangan di tapak telah selesai, memandangkan kita masih mempunyai kira-kira enam minggu sebelum acara.
“Saya berkemungkinan besar akan membuat lawatan ke tapak bersama pihak MCMC dan syarikat-syarikat telekomunikasi untuk melihat perancangan yang telah dibuat,” katanya pada sidang media mingguan di Putrajaya.
Fahmi berkata persiapan dari aspek rangkaian komunikasi itu merupakan pendekatan sama yang dilaksanakan kerajaan bagi acara berskala besar dan penting kepada negara.
Katanya, perancangan awal perlu diberi keutamaan bagi memastikan kesalinghubungan komunikasi berada pada tahap terbaik sepanjang berlangsungnya acara F1 di Sepang.