
KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Kementerian Kesihatan (KKM) mempertingkatkan kesiapsiagaan dari segi tenaga kerja, pemantauan serta kemudahan kesihatan susulan keadaan jerebu yang sedang melanda negara ketika ini.
- Peningkatan mendadak kes asma dan jangkitan saluran pernafasan atas menunjukkan kebimbangan terhadap kualiti udara.
- Pelajar diarahkan mengurangkan pendedahan luar dan melaksanakan aktiviti di dalam bangunan.
- Kanak-kanak, wanita hamil, warga emas dan golongan berisiko disaran memakai pelitup muka jika bergejala dan mengelak aktiviti luar.
- KKM bekerjasama dengan KPM dan NRES serta menggesa tindakan segera selepas kira-kira 30 kawasan merekodkan IPU tidak sihat.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, tumpuanturut diberikan kepada kesediaan menghadapi peningkatan mendadak masalah kesihatan seperti asma dan jangkitan saluran pernafasan atas (URTI) akibat kualiti udara yang tidak baik.
“Bagi kes asma, berlaku peningkatan daripada 61 kepada 219 kes, manakala jangkitan saluran pernafasan atas (URTI) turut meningkat daripada 1,673 kepada 2,037 kes.
“Peningkatan ini jelas menunjukkan terdapat perkara yang membimbangkan dan menjadi asas untuk kita mengambil tindakan. Perkara ini turut dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri sebentar tadi.
“Bagi pelajar dan sebagainya, kita akan mengurangkan pendedahan kepada keadaan di luar dan memastikan aktiviti dilaksanakan di dalam bangunan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan pembukaan 2026 International Medical Device Exhibition and Conference, di ibu negara, hari ini.
Dalam pada itu, Datuk Seri Dr Dzulkefly turut menasihatkan kanak-kanak, wanita hamil, warga emas serta golongan berisiko tinggi supaya memakai pelitup muka sekiranya mengalami gejala, selain mengelakkan aktiviti luar.
Orang ramai juga diingatkan supaya memastikan pengambilan air yang mencukupi bagi mengurangkan risiko kesihatan akibat keadaan jerebu.
Sementara itu, KKM terus bekerjasama dengan kementerian berkaitan termasuk Kementerian Pendidikan (KPM) serta Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) bagi menangani isu jerebu dan kesannya terhadap kesihatan awam.
Ketika ini kira-kira 30 kawasan di seluruh negara merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat, sekali gus memerlukan tindakan segera bagi mengurangkan pendedahan orang ramai kepada pencemaran udara.