Jerebu tidak jejaskan perancangan sambutan HKHM- PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim / Foto RTM

CYBERJAYA, 26 Ogos – Faktor fenomena jerebu ketika ini tidak menjejaskan perancangan sambutan Hari Kebangsaan ke-69 dan Hari Malaysia (HKHM).

RINGKASAN BERITA AI
  • Perdana Menteri mengajak rakyat mendoakan agar situasi jerebu terkawal demi kelancaran sambutan HKHM.
  • Kerajaan sedang membuat persiapan menyambut Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.
  • Menteri Komunikasi memaklumkan skala dan lokasi sambutan, termasuk Ambang Merdeka 2026, akan diputuskan semula.
  • Keputusan akhir dijangka selepas Ketua Setiausaha Negara berbincang dengan kementerian dan agensi berkaitan petang ini.

Justeru, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak seluruh rakyat Malaysia mendoakan agar situasi jerebu kekal terkawal demi kelancaran sambutan HKHM.

“Kita juga sedang bersiap menyambut Hari Kebangsaan dan seterusnya Hari Malaysia.

“Kita doakan Allah SWT, mudah-mudahan situasi lebih terkawal agar sambutan boleh diadakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Sambutan Ulang Tahun ke-80 TM di Dewan Tun Canselor, Universiti Multimedia (MMU), di sini.

Terdahulu, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil memaklumkan keputusan mengenai skala dan lokasi sambutan HKHM termasuk Ambang Merdeka 2026 akan diputuskan semula susulan perkembangan semasa keadaan jerebu.

Ketetapan itu katanya akan dibuat selepas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar mengadakan perbincangan bersama kementerian dan agensi berkaitan pada petang ini.

Sambutan Hari Kebangsaan ke-69 dan Hari Malaysia dijadual berlangsung masing-masing pada 31 Ogos dan 16 September.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.