KDN sambut saranan PM, perkasa keterbukaan industri perfileman

Foto janaan AI

KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyambut baik saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya industri perfileman negara diberikan ruang lebih terbuka untuk berkarya, bereksperimen dan menyampaikan pandangan.

RINGKASAN BERITA AI
  • KDN menjelaskan klasifikasi umur berbeza daripada penapisan; klasifikasi tidak membebaskan filem daripada semakan LPF.
  • Setiap filem melalui tapisan dan penilaian LPF; pemotongan hanya jika perlu berdasarkan adegan, dialog, audio, tema dan konteks.
  • KDN dan LPF menyokong ruang lebih luas untuk karya kreatif namun terus mempertahankan keselamatan, keharmonian dan kepentingan negara secara tegas.

Pendekatan itu dilihat mampu menggalakkan pemikiran kreatif dan kritis, sekali gus memperkasa industri perfileman Malaysia agar terus berkembang, inovatif serta berdaya saing seiring perubahan masyarakat dan teknologi.

KDN menerusi kenyataan menjelaskan, klasifikasi dan penapisan merupakan dua proses berbeza tetapi saling melengkapi di bawah Akta Penapisan Filem 2002 (Akta 620).

“Klasifikasi menentukan kesesuaian kandungan mengikut kategori umur penonton, manakala proses tapisan menilai kandungan secara menyeluruh berdasarkan undang-undang, dasar dan garis panduan berkuat kuasa.

“Sehubungan itu pemberian sesuatu klasifikasi umur tidak bermaksud sesebuah filem dikecualikan daripada proses tapisan Lembaga Penapis Filem (LPF),” menurut kenyataan itu.

Menurut KDN, setiap filem tetap melalui proses tapisan dan penilaian LPF, namun sesuatu kandungan tidak semestinya memerlukan pemotongan sekiranya didapati masih sesuai dikekalkan di bawah klasifikasi umur ditetapkan.

Penilaian dibuat secara menyeluruh dengan mengambil kira aspek antaranya adegan, dialog, audio, tema, perlakuan dan konteks penceritaan.

“Bagaimanapun, kandungan yang tidak mematuhi undang-undang, dasar dan garis panduan berkuat kuasa akan dipertimbangkan untuk tindakan atau penyesuaian berdasarkan konteks serta tahap risikonya.

“Kandungan yang tidak dapat disesuaikan bagi memenuhi ketetapan pula tidak akan diluluskan untuk tayangan,” tambah kenyataan itu.

Kepentingan awam dan negara kekal menjadi pertimbangan utama, khususnya terhadap kandungan yang berpotensi menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam, keagamaan, moral serta sosiobudaya masyarakat.

LPF turut mengambil kira kepentingan nasional dan sensitiviti hubungan antarabangsa sekiranya sesuatu kandungan berpotensi memberi kesan terhadap imej negara, keharmonian masyarakat atau hubungan Malaysia dengan negara lain.

KDN dan LPF akan terus menyokong perkembangan industri perfileman negara dengan menyediakan ruang lebih luas kepada penggiat seni menghasilkan karya kreatif, segar, kritis dan berkualiti.

Pada masa sama, tanggungjawab memelihara keselamatan, ketenteraman awam, keharmonian masyarakat serta kepentingan negara akan terus dilaksanakan secara tegas dan profesional.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.