
CYBERJAYA, 19 Oktober – Kebebasan bersuara di media sosial perlu disertai adab dan tanggungjawab, termasuk menghormati perbezaan pandangan serta menjaga maruah individu.
- MCMC menegaskan segala bentuk buli siber seperti gangguan, ugutan, penghinaan dan serangan peribadi adalah tidak boleh diterima.
- Suruhanjaya prihatin terhadap penyalahgunaan AI untuk menghasilkan kandungan palsu dan maklumat tidak sahih yang mencetuskan fitnah serta kebencian.
- MCMC akan memperkukuh usaha mewujudkan persekitaran dalam talian selamat melalui kerjasama dengan platform, agensi dan masyarakat.
- Sebarang kandungan disyaki melanggar undang-undang akan disiasat dan tindakan diambil, orang ramai diseru menyemak kesahihan sebelum berkongsi.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan hari ini menegaskan pendirian itu selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, yang mengingatkan bahawa setiap kebebasan datang bersama tanggungjawab, khususnya dalam penggunaan media sosial.
“Perbezaan pandangan tidak harus dijadikan alasan untuk melakukan sebarang bentuk buli siber, termasuk gangguan, ugutan, penghinaan, serangan peribadi atau penyebaran maklumat peribadi yang boleh mengancam keselamatan dan maruah individu,” menurut kenyataan MCMC.
Suruhanjaya itu turut mengambil perhatian terhadap kebimbangan Seri Paduka Baginda mengenai penyalahgunaan kecerdasan buatan (AI) bagi menghasilkan kandungan palsu dan penyebaran maklumat tidak sahih yang boleh mencetuskan fitnah serta kebencian.
Sehubungan itu, MCMC akan terus memperkukuh usaha mewujudkan persekitaran dalam talian yang selamat menerusi kerjasama dengan penyedia platform, agensi berkaitan dan masyarakat.
Sebarang kandungan yang disyaki melanggar undang-undang akan diteliti dan tindakan sewajarnya diambil berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
MCMC turut menyeru rakyat agar menyemak kesahihan maklumat sebelum berkongsi, menghormati perbezaan pandangan serta menjaga adab dalam setiap interaksi di media sosial.