Demonstrasi bantah dasar pendidikan di Albania bertukar ganas

Foto Viory

ALBANIA, 19 Oktober – Demonstrasi membantah dasar pendidikan kerajaan di ibu negara, Tirana bertukar ganas apabila penunjuk perasaan melancarkan bunga api dan membaling objek ke arah pihak polis.

RINGKASAN BERITA AI
  • Protes pelajar tercetus susulan yuran tinggi, kemudahan universiti daif dan peluang pekerjaan terhad.
  • Penunjuk perasaan menuntut pengurangan yuran, bantuan kewangan lebih besar serta penambahbaikan kemudahan dan kualiti pendidikan.
  • Demonstrasi merebak ke beberapa bandar, boikot kelas dijalankan, dan memberi tekanan kepada Perdana Menteri Edi Rama.

Tindakan itu sekali gus memaksa pihak berkuasa menggunakan meriam air untuk menyuraikan orang ramai.

Rakaman kejadian menunjukkan bunga api meletup berhampiran barisan anggota polis manakala, api marak di dalam sebuah bangunan serta tong sampah terbakar di jalanan.

Protes yang diketuai pelajar itu tercetus susulan ketidakpuasan hati terhadap yuran pengajian yang tinggi, kemudahan universiti yang daif serta peluang pekerjaan yang terhad.

Penunjuk perasaan menuntut pengurangan yuran pengajian, bantuan kewangan yang lebih besar serta penambahbaikan kemudahan dan kualiti institusi pendidikan.

Mereka turut menyuarakan kebimbangan terhadap isu rasuah dan peningkatan kos sara hidup yang semakin membebankan rakyat.

Demonstrasi itu bermula pada 13 Oktober dengan pelajar mendesak keadaan universiti diperbaiki sebelum merebak ke beberapa kawasan lain di negara berkenaan.

Pelajar sekolah dan mahasiswa kemudian memboikot kelas di beberapa bandar di Albania sebagai sebahagian daripada bantahan mereka.

Pergolakan berkenaan turut meningkatkan tekanan terhadap Perdana Menteri Albania, Edi Rama, ketika kerajaan berdepan tuntutan supaya menangani isu pendidikan dan kebajikan rakyat.

Dalam perkembangan berkaitan, protes yang melibatkan pelajar dan isu kos sara hidup turut dilaporkan di beberapa bandar Eropah, termasuk Paris, Lyon, Strasbourg dan Montpellier di Perancis, selain Milan di Itali serta Copenhagen di Denmark.

Gelombang demonstrasi itu mencerminkan ketidakpuasan hati sebahagian masyarakat terhadap kos kehidupan dan isu kebajikan, termasuk akses kepada pendidikan yang lebih baik.-VIORY

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.