fb fb fb fb fb

MCMC siasat penyebaran kandungan palsu kes Zara Qairina

MCMC tegas terhadap penyebaran maklumat palsu yang boleh cetus kekeliruan awam.

CYBERJAYA, 10 Ogos - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjalankan siasatan terhadap penyebaran kandungan di media sosial berkaitan kes Allahyarham Zara Qairina Mahathir yang dipercayai mengandungi maklumat palsu dan unsur 3R iaitu Kaum, Agama dan Institusi Diraja.

Menurut kenyataan MCMC, kandungan tersebut dikhuatiri boleh mencetuskan kekeliruan awam dan menjejaskan kelancaran proses siasatan pihak berkuasa.

Bagi membantu siasatan, individu terbabit telah dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras pada 9 Ogos lalu.

Satu unit telefon bimbit dan sekeping kad SIM turut disita bagi tujuan siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang membawa hukuman maksimum denda RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

MCMC turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan kerana ia bukan sahaja berisiko mengguris hati keluarga mangsa, malah bercanggah dengan nilai etika dan boleh mengganggu proses keadilan.

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN