fb fb fb fb fb

MCMC siasat enam individu muat naik kandungan palsu mengenai Sultan Ibrahim

Suspek di Setapak yang diambil keterangan / Foto MCMC

CYBERJAYA, 11 Februari – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menjalankan siasatan terhadap enam individu yang dipercayai terlibat dalam memuat naik kandungan palsu dan jelik berhubung Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Majlis Raja-Raja di platform media sosial Facebook.

Siasatan melibatkan operasi pemeriksaan ke atas salah seorang suspek di Setapak, Kuala Lumpur, yang memuat naik kandungan palsu mengenai Mesyuarat Majlis Raja-Raja.

"Satu unit telefon pintar dan kad SIM yang berkaitan dengan kes tersebut telah disita bagi membantu siasatan. Analisis forensik akan dijalankan ke atas peranti tersebut untuk mendapatkan bukti lanjut," menurut MCMC menerusi kenyataan.

Selain itu, satu kes lain turut disiasat bersama pasukan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) PDRM, dan suspek dijadualkan untuk memberikan keterangan, esok.

"Operasi pemeriksaan susulan akan dijalankan sepanjang minggu ini ke atas suspek di lokasi berasingan di Sungai Petani, Kota Bharu, Kerian, dan Teluk Intan," tambah MCMC.

Dua notis telah dikeluarkan kepada dua individu untuk hadir memberi keterangan mengenai kandungan yang dimuat naik oleh mereka di Facebook.

Siasatan dilakukan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara satu tahun, atau kedua-duanya sekali.

MCMC mengingatkan orang ramai untuk tidak memuat naik kandungan palsu di rangkaian dan aplikasi dalam talian, yang boleh mencetuskan panik dan kegusaran dalam masyarakat.

Orang ramai disarankan untuk menggunakan Chatbot AIFA di portal Sebenarnya.my atau aplikasi WhatsApp untuk memeriksa kesahihan berita yang tidak ditentusahkan dalam talian.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN