fb fb fb fb fb

MCMC laksana kaji selidik, dapatkan maklumat keberkesanan pos dan kurier di Malaysia

Inisiatif Kajian Dasar Strategik Sektor Pos/RTM

Cyberjaya, 8 Mei - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melaksanakan Kaji Selidik Penggunaan Perkhidmatan Pos di Malaysia bagi mendapatkan maklum balas orang ramai berhubung keberkesanan perkhidmatan pos dan kurier di negara ini.

Kaji selidik yang dibuka sehingga 23 Mei 2025 itu merupakan sebahagian daripada inisiatif Kajian Dasar Strategik Sektor Pos, bertujuan menyokong cadangan pindaan terhadap Akta Perkhidmatan Pos 2012 (APP 2012) yang masih dikaji bagi pertimbangan Kerajaan.

Menurut MCMC dalam kenyataan, pindaan terhadap APP 2012 membantu memperkukuh kawal selia industri pos secara menyeluruh dan inklusif.

Selain itu, ia bagi memastikan kelestarian pemain industri tempatan yang kini berdepan pelbagai cabaran.

Usaha ini juga dilihat penting dalam memenuhi keperluan pengguna yang semakin meningkat, terutamanya dalam era digital dan e-dagang yang berkembang pesat.

Hasil daripada kaji selidik ini diharap dapat membantu Kerajaan merancang serta membangunkan dasar inisiatif lebih relevan dalam sektor pos dan kurier untuk jangka masa panjang.

Ini penting bagi memastikan sektor perkhidmatan penghantaran terus memainkan peranan utama dalam menyokong pertumbuhan e-dagang negara.

NUR MOHD IQWAN BIN SAMSUDIN