CYBERJAYA, 27 Jun - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menasihatkan orang ramai untuk sentiasa berwaspada apabila menerima jemputan bagi menyertai atau memuat turun aplikasi hasad “Pink WhatsApp.”
MCMC memaklumkan, aplikasi itu kononnya menawarkan ciri keselamatan serta privasi yang lebih baik, antara muka yang boleh diubah suai, serta keupayaan untuk menghantar fail lebih besar berbanding aplikasi WhatsApp yang biasa digunakan.
"Bagaimanapun, selepas pemasangan, aplikasi hasad berkenaan boleh mengakses pelbagai item dalam telefon pintar pengguna seperti gambar, SMS dan senarai kenalan yang boleh membawa kepada risiko keselamatan yang serius.
"Para pengguna akan menerima mesej dan pautan seolah-olah datang daripada WhatsApp yang mengajak pengguna untuk mencuba aplikasi baharu tersebut," menurut MCMC menerusi kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, MCMC menasihatkan pengguna untuk tidak memuat turun dan memasang aplikasi tersebut dan segera membuang aplikasi berkenaan sekiranya ia telah dimuat turun dalam telefon.
MCMC turut mengesyorkan pengguna untuk memuat turun aplikasi mudah alih hanya daripada gedung aplikasi rasmi seperti Apple App Store, Google Play Store dan Huawei AppGallery.
"Pengguna juga diminta untuk tidak menyebarluaskan sebarang pautan yang mencurigakan. MCMC ingin menekankan kepentingan untuk berhati-hati ketika menggunakan aplikasi mudah alih, mengambil langkah-langkah pencegahan untuk melindungi maklumat peribadi, serta mengelak daripada memuat turun aplikasi hasad," kata MCMC.
MCMC menyarankan pengguna untuk terus kekal berwaspada dan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan berkaitan dengan ”Pink WhatsApp” kepada portal Aduan MCMC di pautan https://aduan.mcmc.gov.my/#/public/main atau di talian hotline Aduan 1800-188-030.