CYBERJAYA, 6 September - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan sindiket penyebaran SMS palsu menggunakan peralatan telekomunikasi haram dikenali sebagai Fake Base Transceiver Station (Fake BTS), menerusi operasi bersepadu Op Pancing.
MCMC dalam kenyataan berkata, penahanan dilakukan hasil aduan awam dan risikan, apabila seorang individu dikesan mengendalikan peralatan Fake BTS dalam sebuah kenderaan berhampiran pusat membeli-belah utama di Kuala Lumpur.
Menurut MCMC, pemeriksaan menemukan kelengkapan komunikasi dalam keadaan aktif yang menghantar SMS mengandungi kandungan palsu, pautan phishing serta mesej berunsur perjudian kepada orang awam.
Susulan tangkapan itu, pasukan operasi menyerbu sebuah rumah teres dua tingkat di Kota Kemuning, Shah Alam, yang dijadikan tempat penyimpanan kenderaan dan peralatan berkaitan Fake BTS.
MCMC menjelaskan, siasatan awal mendapati sindiket itu mengubah suai kelengkapan komunikasi bagi membolehkan ia beroperasi secara mudah alih.
Secara keseluruhan, sebanyak 45 barangan dengan nilai anggaran RM100,000 telah disita, manakala seorang individu dirakam keterangan bagi membantu siasatan.
Kes disiasat bawah Seksyen 239(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara sehingga 10 tahun, atau kedua-duanya.
Menurut MCMC lagi, kes turut disiasat mengikut Peraturan 34(5)(c) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Spektrum) 2000 yang membawa hukuman denda maksimum RM300,000 atau penjara tiga tahun, atau kedua-duanya.