fb fb fb fb fb

Lebih 1,200 sertai Kayuhan Legenda Langkawi 2025

Sesi pelepasan peserta Langkawi Legendary Ride 2025.

LANGKAWI, 6 September - Lebih 1,200 peserta dari dalam dan luar negara menyertai Langkawi Legendary Ride (LLR) 2025, sekali gus mengekalkan status sebagai acara kayuhan terbesar di pulau pelancongan itu sejak diperkenalkan pada 2019.

Acara berprestij anjuran Langkawi Legendary Ride dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Tourism Malaysia; serta Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) itu berlangsung di Dataran Marmar, Kuah, pagi tadi.

Kayuhan dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Route 101 Legendary Ride (101 kilometer), Route 60 Eagle Ride (60 kilometer) dan Route 30 Mahsuri Ride (30 kilometer).

Pelepasan peserta disempurnakan Tunku Mahkota Kedah, Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin.

Menurut penganjur, Azura Zainol Abidin, edisi keenam LLR semakin dikenali di peringkat antarabangsa apabila disertai peserta dari 21 negara. Ini termasuk Indonesia, Singapura, United Kingdom, Kanada, Jerman, Amerika Syarikat, Perancis, Filipina, Afrika Selatan, Denmark, India, Ireland, China dan Itali.

“Lebih 90 peratus peserta datang dari luar Langkawi, sekali gus menyumbang kepada ekonomi pelancongan tempatan. Dengan sokongan pelbagai penaja korporat, kami yakin penganjuran kali ini menjadi persiapan terbaik menuju Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.

TUN JULIA MOHD TAHIR