SUNGAI PETANI, 6 September – Mayat seorang lelaki ditemukan di dalam sebuah kereta di kawasan parkir sebuah stesen minyak di Bandar Perdana, di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Hanyan Ramlan berkata, mangsa dikenali sebagai Amear Mat Isa, 51, berasal dari Kampung Bukit Choras, Pendang.
Menurutnya, pihak polis menerima panggilan pada 3.15 petang semalam memaklumkan sebuah kereta telah diletakkan di kawasan parkir stesen minyak berkenaan sejak Khamis lalu.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat seorang lelaki di dalam kenderaan itu dalam keadaan tidak bergerak, selain turut berbau busuk,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, siasatan awal di lokasi tidak menemukan sebarang unsur jenayah.
“Mangsa mempunyai rekod penyakit dan kenderaan itu dikesan memasuki kawasan tersebut pada 3 pagi Rabu lalu. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk bedah siasat yang dijadualkan pada 10 pagi,” katanya.