fb fb fb fb fb

MCMC, ANATEL meterai MoU perkukuh kerjasama telekomunikasi Malaysia–Brazil

Pertukaran MoU antara MCMC dan ANATEL disaksikan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil sempena Persidangan Pembangunan Telekomunikasi Sedunia 2025 (WTDC-25) di Baku, Azerbaijan / BERNAMA

BAKU, 19 November -Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Agensi Telekomunikasi Nasional Brazil (ANATEL) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang telekomunikasi serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Pertukaran MoU tersebut berlangsung sempena Persidangan Pembangunan Telekomunikasi Sedunia 2025 (WTDC-25) di sini, disaksikan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

MCMC diwakili Timbalan Pengarah Urusan (Kawal Selia dan Korporat), Datuk Zulkarnain Mohd Yasin, manakala ANATEL diwakili Presidennya, Carlos Manuel Baigorri.

Datuk Fahmi berkata, kerjasama itu penting bagi memperkukuh rangkaian hubungan antara badan kawal selia Malaysia dan rantau Amerika Selatan.

“Hubungan ini penting supaya MCMC mempunyai rangkaian badan kawal selia, termasuk di Amerika Selatan.

Pengalaman berbeza, situasi berbeza dan kerencaman yang mereka hadapi boleh membantu kita memahami langkah terbaik untuk meningkatkan kesalinghubungan di rantau kita,” katanya.

Menurut beliau, MoU tersebut juga signifikan susulan Lawatan Negara Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva, ke Malaysia pada Oktober lalu bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN