fb fb fb fb fb

MBMB proaktif pantau aktiviti vandalisme di bangunan warisan, sejarah UNESCO

(FOTO BERNAMA)

BANDA HILIR, 10 Julai- Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) akan memantau secara proaktif sebarang aktiviti vandalisme di bangunan warisan dan sejarah yang diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman berkata, pihaknya meletakkan pegawai penguatkuasa di sekitar kawasan tapak UNESCO itu bagi memantau sebarang aktiviti itu.
Antaranya di sekitar Banda Hilir, seperti Stadhuys, Kota A Famosa dan beberapa kawasan di Jonker Walk

Katanya, ia sebahagian daripada usaha MBMB menjelang Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024.

"Setakat hari ini ada tetapi agak 'minor' contoh macam menconteng konon dia tulis 'I was here' tetapi dia tak sedar yang diconteng itu adalah kawasan warisan, tempat peninggalan yang kita perlu pelihara. Sekarang kita dalam proses untuk menambah baik yang mana kita akan pastikan tiada berlakunya aktiviti vandalisme dan kita akan sentiasa memantau," katanya.


(Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman)

Selain itu, beliau berkata MBMB juga sedang menaik taraf semua tandas awam dalam kawasan pentadbirannya terutama di lokasi tumpuan pelancong sekitar Banda Hilir bagi memastikan keselesaan pengguna.

"Kita mahu memastikan semua tandas berkenaan mencapai taraf 'BMW' iaitu Bersih, Menawan dan Wangi seperti disarankan Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan sekali gus memberi imej yang baik kepada pelancong tentang aspek kebersihan tandas awam di negeri ini.

"Di MBMB juga, kita mempunyai satu tandas yang menerima Anugerah Standard Pelancongan Asean Kategori 'Asean Public Toilet Standard' Peringkat Kebangsaan bagi Tandas Graha Makmur," katanya.

Shadan berkata demikian pada Festival Heritage Melaka 2023 di Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Banda Hilir, malam tadi.

Majlis sambutan disempurnakan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam dan turut dihadiri Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Lebih 100 artis kebudayaan terlibat menjayakan persembahan 'Musical Malacca Heritage of Magnificence from the 15th Century' serta persembahan tarian dan nyanyian melibatkan pelbagai etnik di Melaka.

Festival turut menampilkan pelakon, Ashraf Muslim dan Vanida Imran serta bekas jaguh silat negara Mohd Al-Jufferi Jamari.

Media Baharu