fb fb fb fb fb

MBK, SWCorp dan Alam Flora Sdn Bhd jalin kerjasama hantar bantuan misi pascabanjir ke Terengganu

KUANTAN, 8 Mac- Prihatin nasib penduduk terjejas banjir di Terengganu, Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) bersama Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), serta Alam Flora Sdn Bhd, menghantar misi bantuan pascabanjir ke negeri itu.

Seramai 65 anggota bersama lebih 17 kenderaan dihantar di kawasan Hulu Terengganu bagi kerja-kerja pembersihan bermula semalam sehingga Jumaat ini.

Menurut Datuk Bandar Kuantan, Datuk Hamdan Hussin usaha terbabit sejajar dengan misi kerajaan Pahang untuk turut sama membantu negeri-negeri yang terjejas akibat bencana banjir baru-baru ini.

“Semalam kita bergabung, pejabat SUK dengan program PUSPANITA, kita ada lebih kurang 10 orang dan dua buah lori semalam yang kita hantar tapi hari ini kita tambah dengan kekuatan yang saya rasa amat memberi signifikan yang berkesanlah nanti iaitu lebih kurang 55 anggota. Lebih daripada 15 kenderaan yang kita hantar,” kata Hamdan selepas pelepasan Misi Bantuan Banjir ke Terengganu di perkarangan Kompleks Majlis Bandaraya Kuantan di sini, hari ini.

Selain bantuan pembersihan, sumbangan turut diberikan dalam bentuk 200 pek bekalan makanan harian.

Mengulas mengenai Anugerah ASEAN Clean Tourist City Standard 2022-2024 Peringkat Kebangsaan yang diterima semalam, beliau berkata, anugerah itu pastinya akan memperkenalkan bandaraya Kuantan sehingga ke peringkat antarabangsa.

Malah anugerah itu juga akan membawa limpahan rezeki buat pengusaha penginapan, makanan dan penggiat pelancongan di bandaraya itu.


(Majlis pelepasan Misi Bantuan Banjir ke Terengganu diadakan di perkarangan Kompleks Majlis Bandaraya Kuantan, hari ini)

“Kita salah satu bandar yang akan masuk di dalam jadual MOTAC, jadual ejen pelancongan di peringkat kebangsaan dan juga antarabangsa. Ini bermaksud kita punya pemasaran bandar ini semakin meluas,” tambahnya.

Anugerah itu disampaikan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Datuk Seri Nancy Shukri di Kuala Lumpur, semalam.

Dalam pada itu katanya, beliau juga berharap agar pihak swasta dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) untuk menjalin kerjasama bersama MBK untuk memperbanyakkan lagi aktiviti dan produk pelancongan dalam usaha menjadikan Kuantan sebagai pilihan utama pelancong.

Media Baharu