fb fb fb fb fb

Koperasi kariah masjid, perkasa ekonomi umat Islam

SEPANG, 8 Mac- Institusi masjid di negara ini disaran mengaplikasikan konsep koperasi bagi membentuk dana masjid yang cekap selain mampu melahirkan lebih ramai usahawan muslim.

Untuk itu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dam Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) akan bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) untuk turun padang memberi pendedahan kepada institusi masjid di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad turut bercadang JAKIM dan MEDAC mengadakan perjumpaan berkala dengan Anggota Lembaga Koperasi Kariah Masjid, Majlis Agama Islam Negeri dan AJK masjid bagi memperhalusi peranan masing-masing.

"Sebab itu kita nak kerjasama itu. Lepas ini saya arahkan perjumpaan antara pihak JAKIM, pihak Majlis Agama Islam negeri dan juga pihak ANGKASA untuk kita turun memberikan kesedaran bagaimana perlunya penubuhan koperasi di peringkat masjid kerana sikit sangat. Kita ada lebih kurang 6,000 masjid setakat ini, yang ada koperasi berdaftar hanya 462 sahaja," kata beliau selepas merasmikan persidangan Koperasi Kariah Masjid Peringkat Kebangsaan Tahun 2022, di sini.

Pada majlis tersebut Koperasi Masjid Ar Rashdiah, Selama, Perak dinobat sebagai Koperasi Kariah Masjid terbaik manakala tempat kedua dimenangi Koperasi Masjid Nurul Yaqin, Kelana Jaya, Selangor.


(Wakil daripada Koperasi Masjid Ar Rashdiah menerima hadiah bernilai RM20,000 yang disampaikan oleh Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad)

Persidangan selama dua hari itu dihadiri 500 peserta yang terdiri daripada Anggota Lembaga Koperasi Kariah Masjid seluruh negara.

Media Baharu