(Datuk Bandar MBJB, Datuk Mohd Noorazam Osman bercakap pada sidang media selepas
merasmikan Sudut Lestari di Perpustakaan Sultan Ismail, Johor Bahru)
JOHOR BAHRU, 14 Februari - Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) memerlukan kerjasama semua sekolah, menjalankan inisiatif kelestarian alam sekitar di sekolah masing-masing, bagi memupuk budaya kelestarian di kalangan golongan muda.
Ketika ini, beberapa sekolah telah menjalankan inisiatif tersebut, seperti menghasilkan produk kitar semula, pengkomposan, serta menghasilkan tenaga boleh diperbaharui daripada matahari dan air.
Datuk Bandar MBJB, Datuk Mohd Noorazam Osman berkata antara sekolah yang telah menjalankan inisiatif kelestarian ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Foon Yew, SK Bukit Mutiara, SK Taman Suria.
Bagi memperkasa idea tersebut, MBJB melancarkan Sudut Lestari di Perpustakaan Sultan Ismail bagi mendidik pelajar tentang kepentingan konservasi alam sekitar, serta memupuk gaya hidup rendah karbon.
Sudut Lestari mempraktikkan Model Kyoto dari Jepun dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kyoto, Persatuan Aktiviti Persekitaran Kyoto, dan Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA).
(Datuk Bandar MBJB, Datuk Mohd Noorazam Osman mendengar penjelasan pelajar mengenai projek
yang diusahakan di Sudut Lestari, Perpustakaan Sultan Ismail, Johor Bahru)
"Memberikan penerangan kepada anak-anak muda itu, khusus kepada pelajar-pelajar, yang mana kita tahu di Kyoto itu, penglibatan komuniti dalam menjaga kelestarian alam sekitar tu adalah satu benda yang sangat besar, yang mana semua orang menghayati ideologi kelestarian," kata beliau selepas merasmikan Sudut Lestari di Perpustakaan Sultan Ismail, di sini hari ini.
Ia turut dihadiri Penolong Pengarah Pejabat Polisi Alam Sekitar Global Kyoto, Terunuma Takeshi.
Pelancaran Sudut Lestari di perpustakaan tersebut diharap menjadi kayu pengukur kepada sekolah-sekolah di negeri itu bagi menjalankan inisiatif kelestarian.
Mohd Noorazam juga berharap badan bukan kerajaan (NGO) dapat menganjurkan program – program kelestarian di sekolah bagi memperkasa agenda tersebut.