KUALA LUMPUR, 21 Julai - Pembangunan Infrastruktur Blockchain Malaysia (MBI) merupakan langkah strategik kerajaan dalam memperluaskan penggunaan teknologi blockchain secara menyeluruh dalam sektor awam dan swasta.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang, berkata pelaksanaan inisiatif MBI merupakan pendekatan berskala nasional bertujuan menyepadukan pelbagai sistem blockchain sedia ada ke dalam satu ekosistem digital yang tersusun, selamat dan berkesan.
Ia sekali gus dapat meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan, malah mampu menjana penjimatan kos yang ketara kepada negara dalam jangka panjang.
"Bayangkan masa depan di mana perkhidmatan awam dihubungkan secara lancar, produk halal dapat disahkan secara telus dari ladang ke meja, dan proses perolehan bebas daripada ketirisan semuanya dibina di atas lapisan blockchain menerusi MBI. Ini bukan sekadar impian. Ini adalah masa depan kita," katanya.
Tambah beliau, MBI juga membuka ruang kepada syarikat pemula, penyelidik dan usahawan tempatan untuk membangunkan aplikasi blockchain yang lebih canggih, berimpak tinggi dan berdaya saing.
"Sejajar dengan semangat Malaysia MADANI, saya yakin MBI akan memberi impak besar kepada ekonomi negara melalui pembinaan tulang belakang digital yang dipercayai, sekaligus meningkatkan ketelusan, kecekapan dan keselamatan dalam pelbagai industri," katanya.
Sehubungan itu, beliau optimis MOSTI akan terus menerajui usaha memperkukuh dasar dan inisiatif bagi memastikan teknologi ini diterapkan dan dimanfaatkan sepenuhnya dalam sektor utama negara.
"Langkah ini akan memperkukuh daya saing Malaysia di peringkat global, selaras dengan perkembangan teknologi masa hadapan," ujarnya.
Beliau berucap demikian semasa Majlis Perasmian MBI bersempena Minggu Blockchain 2025 di sini.