(Datuk Seri Amirudin Shari/ BERNAMA)
GOMBAK, 29 Julai- Menteri Besar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mempertahankan kerusi DUN Sungai Tua bakal berhadapan pertandingan tiga penjuru.
Beliau ditentang calon Perikatan Nasional (PN), Muhammad Hanif Jamaluddin dan calon bebas, Suman Gopal.
Pegawai pengurus Pilihan Raya, Nor Azlina Abd Aziz memaklumkan pihaknya menerima tiga borang pencalonan bagi kerusi DUN Sungai Tua daripada Muhammad Hanif, Suman dan Amirudin masing-masing pada jam 9.10 pagi, 9.13 pagi dan 9.15 pagi.
"Saya sudah semak kertas pencalonan dan berpuas hati dengannya. Tiada kertas pencalonan ditolak," katanya.
Muhammad Hanif merupakan Setiausaha Dewan Pemuda PAS, manakala Suman pernah bertembung dengan Amirudin dengan seorang calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) bagi kerusi DUN Batu Caves.
Pada PRU ke-14, Amirudin, menang dengan majoriti 11,374 undi di DUN Sungai Tua selepas menewaskan tiga calon lain dari BN, PAS dan Bebas yang berentap dalam pertandingan empat penjuru di DUN berkenaan.
(Calon PH, Datuk Seri Amirudin pada hari penamaan calon bagi mempertahankan kerusi DUN Sungai Tua)