RAUB, 19 April- Mayat seorang penoreh getah yang dilaporkan hilang sejak Selasa lalu, ditemukan lemas pagi tadi di kawasan sungai berhampiran pusat rekreasi Jeram Besu.
Mangsa, Mat Salleh Junoh, 63 tahun, disyaki dihanyutkan arus deras ketika menjala ikan sebelum mayatnya ditemukan orang awam yang sedang memancing pada pukul 10 pagi.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria, memaklumkan mayat ditemukan kira-kira empat kilometer dari lokasi mangsa dipercayai terjatuh.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan sejak tiga hari lalu dan pasukan bomba kemudiannya menyerahkan mayat kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Mangsa yang tinggal di Perumahan Tat Sega, Raub, disedari hilang oleh anaknya berusia 18 tahun selepas tidak pulang ke rumah sejak Selasa.
Kenderaan milik mangsa, Toyota Avanza, ditemui di kawasan letak kenderaan pusat rekreasi tersebut. Namun selepas usaha mencari secara peribadi gagal, laporan polis dibuat pada malam Rabu.
Siasatan turut mendapati terdapat saksi yang melihat mangsa sedang menjala ikan di kawasan sungai sebelum kejadian berlaku.
Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Raub untuk proses bedah siasat.