KUCHING, 19 April- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedang merangka langkah intervensi lebih menyeluruh bagi menangani isu salah guna teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam kalangan pelajar sekolah.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata antara pendekatan yang dirancang termasuk mempertingkat kefahaman dalam kalangan pegawai kementerian melalui program selaras dengan perkembangan teknologi semasa.
“Selain pendekatan pendidikan, saya juga arahkan pegawai meneliti aspek perundangan termasuk keperluan untuk meminda undang-undang sedia ada,” katanya kepada media selepas Majlis Ramah Mesra bersama kumpulan sasar KPWKM di Wisma SABATI, Kuching.
Menurut beliau, kementerian turut menerima maklum balas daripada pelbagai pertubuhan seperti Sisters in Islam yang disifatkan sebagai input berharga dalam membentuk dasar lebih berkesan.
Sesi libat urus bersama agensi dan kementerian berkaitan juga sedang dirancang, termasuk agensi yang mengawal selia media sosial dan teknologi AI.
“Kita mahu pendekatan ini melibatkan pelbagai pihak, bukan KPWKM sahaja. Kita berbincang secara spontan tadi dan akan susuli dengan tindakan susulan,” jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan pentingnya program literasi digital diperluas ke kawasan luar bandar agar ibu bapa di sana tidak tercicir dalam memahami cabaran dan risiko berkaitan teknologi terkini.