PULAU PINANG, 19 April– Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Microsoft Malaysia dan Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini melancarkan program MCMC-Microsoft AI TEACH, yang menyasarkan 150 pelajar Siswa Sulung di USM sebagai usaha memperkukuh kapasiti digital golongan belia berpendapatan rendah.
Program tersebut berlangsung di Dewan Pembangunan Siswa, Kompleks Cahaya Siswa, USM dan disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Profesor Dr. Habibah A. Wahab.
Turut hadir Ketua Pegawai Sektor Pembangunan Industri MCMC, Muhammad Razali Anuar; Pengarah Negeri MCMC Pulau Pinang, Mohd Fitri Hashim; serta wakil-wakil daripada PERKESO dan Biji-biji Initiative.
Program AI TEACH merupakan satu bentuk pengajian dan persijilan dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI) yang memberi pendedahan kepada konsep asas AI, AI generatif, kebolehpasaran diri melalui AI, serta penggunaan teknologi ini secara beretika dan bertanggungjawab.
Ia dirangka khusus untuk pelajar daripada kelompok Siswa Sulung, inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang menyokong mahasiswa generasi pertama daripada keluarga B40 melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Pemilihan peserta dibuat secara teliti berdasarkan pendapatan isi rumah, latar belakang sosioekonomi serta kemampuan pemilikan aset keluarga.
MCMC dalam kenyataannya menyatakan bahawa inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan untuk membina ekosistem pembelajaran digital yang inklusif, serta menyokong sasaran merapatkan jurang digital dalam kalangan rakyat Malaysia.
Kerjasama ini juga selaras dengan usaha memperkasa generasi muda agar bersedia menyertai dan menyumbang dalam ekonomi digital dan teknologi masa depan berasaskan AI.