ALOR SETAR, 19 Mei- Mayat pemancing yang dipercayai lemas di Empangan Tasik Pedu, dekat Kuala Nerang pada Khamis lepas ditemukan pada pukul 8.05 pagi tadi.
Ketua Zon I Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Penguasa Kanan Bomba I Ahmad Aminuddin Abd Rahim dalam satu kenyataan berkata, mayat lelaki berusia 41 tahun itu ditemukan terapung kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi terakhir mangsa dilaporkan terjatuh.
"Bomba menerima panggilan kecemasan pada 6.20 petang Khamis lepas berhubung kejadian lemas yang melibatkan dua mangsa lelaki yang sedang memancing di tasik berkenaan dengan menaiki bot.
"Bagaimanapun, seorang daripada mangsa berusia 55 tahun berjaya diselamatkan oleh orang awam yang berada berhampiran kawasan kejadian manakala seorang lagi dipercayai lemas," katanya.
Operasi pencarian mangsa bermula sejak Khamis lepas turut membabitkan Unit Anjing Pengesan (K-9), Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra dan Sungai Petani serta anggota BBP Kuala Nerang.
"Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis dan akan dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat," katanya.
Media sebelum ini melaporkan, seorang lelaki berusia 41 tahun hilang selepas bot yang dinaiki bersama-sama rakannya terbalik ketika memancing di Empangan Tasik Pedu.
Hanya barangan milik mangsa ditemui di lokasi pencarian.