fb fb fb fb fb

Jalinan kerjasama akademik sempena lawatan Perdana Menteri ke Uzbekistan

Foto UUM

UZBEKISTAN, 19 Mei – Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr Mohd Foad Sakdan berkata, kerjasama dengan Banking and Finance Academy Uzbekistan (BFA) menjadi penanda aras signifikan kepada usaha menggalakkan kerjasama akademik di peringkat antarabangsa.

Menerusi Memorandum Perjanjian (MoA) yang dimeterai UUM dan BFA sempena lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Uzbekistan, kedua-dua institusi pendidikan ini akan bekerjasama di dalam pelbagai bidang akademik khususnya pengajian perniagaan.

“UUM melalui Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB) akan bekerjasama dengan BFA bagi mewujudkan satu sekolah perniagaan yang kukuh di Uzbekistan selain meningkatkan kualiti pendidikan tinggi.

“Program Master of Business Management (MBM) ditawarkan OYAGSB akan diserap ke dalam program BFA Global MBA untuk meningkatkan lagi standard pengajian perniagaan melalui penekanan kepada pengetahuan komprehensif dan kemahiran kepimpinan,” jelas Prof. Dr Mohd Foad.

Beliau mewakili UUM memeterai perjanjian dengan BFA yang diwakili Dr Khoshimov Elmurod dengan disaksikan Datuk Seri Anwar sempena Forum Perniagaan Uzbekistan-Malaysia Peringkat Tinggi di Samarkand.

Institusi pendidikan tinggi lain Uzbekistan terlibat di dalam Memorandum Persefahaman (MoU) dengan UUM adalah Oriental University (OU), Tashkent International University of Financial Management and Technologies (TIFT) dan Tashkent State University of Economics (TSUE).

OU dan TIFT dan masing-masing diwakili Rektor Azizkhon Nodirov dan Prof. Murodjon Ubaydullaevich Akhmedov, manakala TSUE oleh Naib Rektor Pertama, Prof. Sultonali Mehmonov.

School of Quantitative Sciences (SQS) memeterai MoU dengan TIFT dan TSUE, manakala Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara (STHEM) turut memeterai MoU dengan OU bagi menjalin kerjasama di dalam bidang penyelidikan, akademik dan penerbitan bersama

Inisiatif lain yang termaktub di bawah MoU dan MoA ini adalah melibatkan program pertukaran pelajar dan kakitangan serta pemberian geran padanan.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD