fb fb fb fb fb

Johor kutuk sebarang bentuk keganasan

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi

ISKANDAR PUTERI, 19 Mei - Kerajaan Johor mengutuk sekeras-kerasnya gerakan ekstremis yang mengancam keselamatan negara seperti tragedi serangan ke atas Balai Polis Ulu Tiram, Jumaat lalu yang meragut nyawa dua anggota polis manakala seorang lagi cedera.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan, pihak kerajaan negeri akan memberi kerjasama penuh dengan semua agensi keselamatan bagi memastikan peristiwa sama tidak berulang.

"Kerajaan negeri berdiri teguh bersama-sama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha memerangi bentu ekstremis dan akan bekerjasama dengan agensi keselamatan agar peristiwa sama tidak berulang lagi," kata Onn Hafiz.

Beliau menyentuh perkara itu ketika sesi penggulungan perbahasan Persidangan Dewan Negeri Johor di Kota Iskandar, di sini.

Semua ahli dewan negeri juga berdiri seketika bagi menghadiahkan al-Fatihah serta bertafakur kepada dua anggota polis yang terkorban dalam tragedi di Ulu Tiram pada awal pagi Jumaat lalu. 

Kejadian itu meragut nyawa Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24 tahun dan Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22 tahun manakala Koperal Mohd Hasif Roslan yang cedera ditembak dilaporkan stabil dalam rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI).

Suspek berusia 21 tahun ditembak mati polis.

TETITIA YUSOFF