KABONG, 6 September- Operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari ketiga di perairan Beting Yu, Muara Kabong menemukan mayat seorang nelayan yang dilaporkan hilang sejak Rabu lalu.
Mangsa dikenali sebagai Tuah Bujang, 57, manakala anaknya, Muhammad Aiman, 24, masih belum dijumpai.
Identiti mayat disahkan oleh ahli keluarga sebelum dibawa ke Hospital Saratok untuk tindakan lanjut.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) Saratok memaklumkan, operasi hari ini melibatkan 50 anggota terdiri daripada PDRM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Pencarian dilakukan menggunakan enam bot dan satu unit dron, meliputi kawasan seluas 77.54 batu nautika persegi.
Sebelum ini, pasukan SAR turut menemukan tong minyak dan jaket keselamatan pada hari pertama pencarian di perairan Laut Muruh.
Operasi hari ini ditangguhkan pada pukul 5.00 petang dan akan disambung semula esok, bermula 8.00 pagi.