PETALING JAYA, 6 September – Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad menyatakan sokongan terhadap cadangan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) Kesihatan untuk menangguhkan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan.
Menurut beliau, walaupun PSSC sebelum ini mencadangkan penubuhan suruhanjaya itu, mereka turut menyedari cabaran dan kesukaran dalam memastikan keberkesanannya.
“Saya jujurnya cenderung menyokong cadangan PSSC untuk menangguhkan pelaksanaannya. Mudah untuk berkempen dengan idea sebegini, tetapi yang lebih penting adalah bagaimana suruhanjaya ini nanti mempunyai punca kuasa yang bermakna serta benar-benar berfungsi. Untuk itu, kita perlukan masa untuk meneliti secara mendalam,” katanya.
Beliau menjelaskan demikian selepas merasmikan Kempen Live, Laugh, Lungs sempena sambutan Hari Paru-Paru Sedunia Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.
Datuk Seri Dr. Dzulkefly menegaskan bahawa sekiranya suruhanjaya itu ditubuhkan, ia mestilah berfungsi secara signifikan dan bukan sekadar simbolik.
Kempen yang berlangsung selama lima hari bermula 3 hingga 7 September itu merupakan anjuran Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) dengan kerjasama Kenvue Malaysia serta disokong oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Antara pengisiannya ialah saringan kesihatan paru-paru menerusi Klinik Bergerak dengan X-Ray Dada berteknologi berasaskan kecerdasan buatan (AI), perkhidmatan berhenti merokok dan aktiviti pendidikan interaktif bersama keluarga serta pemberian vaksin influenza percuma kepada warga emas.