GERIK, 13 September - Seorang lelaki ditemui mati dalam keadaan tertiarap di kawasan Air Rengat, Temenggor, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Abdul Samad Othman berkata, penemuan itu dimaklumkan selepas seorang lelaki Orang Asli berusia 32 tahun ternampak mayat berkenaan kira-kira pukul 8.25 pagi.
“Saksi kemudian bergegas ke Pangkalan Trojan untuk memaklumkan penemuan tersebut kepada polis bantuan TNB Temenggor sebelum perkara itu disalurkan kepada IPD Gerik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Siasatan lanjut mendapati mangsa ditemui tanpa sebarang dokumen pengenalan diri.
Katanya, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Daerah Gerik untuk proses bedah siasat.
“Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya sambil menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.