fb fb fb fb fb

Mayat lelaki dikhuatiri lemas ketika memancing dijumpai

BENTONG, 4 Ogos- Seorang lelaki yang dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras ketika memancing di kawasan Loji Air Semantan, Kampung Lengkong di Bentong, kelmarin, ditemui lemas pagi tadi.

Mayat mangsa, Amiruddin Asyraf Mat Saman, 26 tahun, ditemui dalam keadaan terapung pada jarak 1.5 kilometer dari lokasi kejadian.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, mayat mangsa ditemui pada pukul 10.28 pagi tadi oleh unit Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) dan pasukan K9.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari kedua dimulakan pada pukul 8.30 pagi tadi dengan kawasan pencarian diperluas hingga 5 kilometer dari lokasi kejadian.

Operasi melibatkan 55 orang termasuk anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong dan BBP Karak, sambil dibantu pihak polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, RELA dan orang awam.


(Operasi SAR melibatkan 55 anggota BBP Bentong dan BBP Karak,  pihak polis, Angkatan Pertahanan Awam
Malaysia, RELA dan orang awam)

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang, Selasa lalu, mangsa yang sedang memancing bersama seorang rakannya dilaporkan terjatuh ke dalam sungai dan dihanyutkan arus deras.

Bomba yang menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 6.22 petang, bergegas ke tempat kejadian bagi melakukan operasi pencarian.

Bagaimanapun, rakan mangsa sempat diselamatkan oleh pihak bomba.

Media Baharu