fb fb fb fb fb

Mayat dengan kesan kelar di leher ditemui, polis laksana siasatan lanjut

DUNGUN, 30 Ogos- Seorang lelaki ditemui mati dengan kesan kelar dibahagian leher di sebuah ladang kelapa sawit di Felda Kerteh 6, Dungun, Terengganu, petang semalam.

Mayat lelaki tempatan yang berumur 42 tahun itu ditemui seorang pengurus ladang berusia 60 tahun yang kebetulan melalui kawasan tersebut untuk pulang ke kediamannya pada pukul 6.50 petang.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Baharudin Abdullah berkata saksi telah melalui kawasan tersebut dan melihat seorang lelaki terbaring dalam keadaan mengiring sebelum berhenti untuk memeriksanya.

Pihaknya yang menerima laporan berhubung kejadian itu bergegas ke lokasi kejadian bersama sepasukan anggota polis.

"Hasil siasatan awal mendapati terdapat kesan kelar di bahagian leher mangsa yang dipercayai menjadi punca kepada kematiannya dan tiada sebarang kecederaan lain ditemui pada badan mangsa," kata kenyataan dikeluarkan polis daerah Dungun.

Bagaimanapun, identiti mangsa serta motif kejadian belum dapat dikenal pasti.

Siasatan lanjut sedang dijalankan manakala gerakan mengesan suspek sedang giat dijalankan.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu untuk proses bedah siasat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.


(Anggota PDRM bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan, gerakan mencari
suspek giat dijalankan)

Media Baharu